Adnan Ibrahim Fri | Jun 06, 08 | 2:08:53 pm MYT | |
Mampukah rakyat Malaysia berbelanja RM900 sebulan untuk petrol? Gaya hidup apakah lagi yang perlu diubah oleh rakyat setelah dinasihatkan pemimpin kerajaan supaya berjimat cermat dengan kenaikan harga minyak dua tahun lalu dan kenaikan harga beras, tepung dan barang keperluan lain? Rakyat sudah mengambil langkah berjimat dan kini sebahagian subsidi petroleum dikorbankan untuk kononnya membantu kerajaan membangunkan negara. Soalnya, apakah pula pengorbanan pemimpin? Setelah rakyat disuruh merobah gaya hidup, para pemimpin terus hidup senang-lenang. Di mana slogan "Kepimpinan Melalui Teladan"? Bersediakah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota kabinet memotong elaun mereka sebagai timbal balas kerajaan menyuruh rakyat mengubah cara hidup. Terdapat cadangan yang disuarakan rakyat dihantar dan disiarkan stesen televisyen swasta minta 70 peratus elaun menteri dipotong. Apakah perasaan Abdullah? Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahril Samad mengumumkan harga petrol mungkin mengikut pasaran global. Shahril melontar pandangan bahawa harga minyak tinggi kerana ia diapung mengikut pasaran semasa. Taktik yang sama juga digunakan bekas Menteri Keja Raya yang menjaga tol, Dato' Seri S Samy Vellu. Shahril juga membayangkan minyak akan naik pada Ogos ini. Tiba-tiba esoknya Abdullah umumkan kenaikan harga petrol kepada RM2.70. Mungkin itu juga mendorong rakyat menganggap kerajaan menipu dalam program isu semasa RTM1. Dalam rancangan Hujah yang disiar televisyen swasta baru-baru ini, rakyat diingatkan agar tidak lagi bergantung kepada tongkat (subsidi). Maksudnya, subsidi minyak kena dihapus. Siapa mereka yang beriya-riya hendak menghapuskan subsidi bahan bakar? Mereka ini golongan berpendapatan RM10 ribu ke atas sebulan. Berapakah harga minyak jika mengikut pasaran global? Contoh terdekat negara yang mengikut harga pasaran tersebut iaitu Singapura. Petrolnya berharga RM5.20 seliter dan diesel RM4.33. Bersediakah rakyat Malaysia membayar petrol RM5.20 seliter dan diesel RM4.33 mengikut harga apung di Singapura untuk menghidupkan kenderaan mereka? Kebiasaannya seliter minyak belum lagi mampu menghidup enjin kereta. Jika selama ini rakyat Malaysia berbelanja RM10 sehari untuk petrol bagi berulang alik ke tempat kerja, sebaliknya harga pasaran global menyebabkan pengguna perlu menyediakan RM30. Sebulan RM900 bermakna ia telah menghapuskan sebahagian besar perbelanjaan sara hidup mereka. Timbul pertanyaan, kenapa rakyat Singapura masih boleh hidup dengan harga minyak setinggi itu? Jawapannya ialah pendapatan per kapita rakyat Singapura adalah RM106,000 (AS$30,810) setahun berbanding rakyat Malaysia yang hanya RM21,500 (AS$6,244). Ianya lima kali ganda berbanding pendapatan per kapita rakyat Malaysia. Purata rakyat Singapura berpendapatan lebih RM7,500 sebulan berbanding rakyat Malaysia RM1,500. Bermakna rakyat Singapura tidak bermasalah membelanjakan RM900 sebulan untuk petrol. Sebaliknya cuba bayangkan rakyat Malaysia berbelanja RM900 sebulan untuk petrol dan bakinya hanya RM600 yang tinggal untuk perbelanjaan mengurus rumahtangga. Bagaimana dengan bayaran ansuran kereta terpakai mereka dan rumah serta perbelanjaan persekolahan anak-anak. Matangkah kepimpinan kerajaan untuk membiarkan petrol dan diesel di bawah kawalan pasaran semasa yang hanya meletakkan bebanan kepada rakyat? Bandingkan pula pendapatan per kapita rakyat Malaysia dengan Korea Selatan dan Taiwan. Penduduk Korea Selatan sekarang berjumlah 40 juta, sementara Taiwan 21 juta. Pada era 1970-an rakyat kedua-dua negara ini lebih miskin berbanding rakyat Malaysia. Tetapi pada hari ini pendapatan per kapita rakyat Korea Selatan adalah AS$19,200 (RM66,000), sementara Taiwan pula AS$15,700 (RM52,300). Iaitu dua atau tiga kali ganda berbanding rakyat Malaysia. Kenapa kerajaan BN langsung tidak ada pertimbangan terhadap rakyat mereka? Rakyat ingin berteduh dan merasai nikmat kesenangan di bawah naungan pemimpin sebaliknya ditindas dan hidup dalam kesusahan. Kerajaan tidak ada program berkesan untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat. Pengangguran tidak dapat dibasmi. Tiba-tiba rakyat dibebankan lagi dengan harga minyak yang cukup tinggi. Seolah-olah rakyat Malaysia tinggal dalam negara bukan pengeluar minyak. Kata para ulama: "Tidak sama orang kaya yang bercakap mengenai kemiskinan dihadapan orang miskin." Pemimpin datang bercakap soal kemiskinan kemudian pulang dengan kemewahan, sedangkan hadirin yang datang dengan kemiskinan pulang dengan kemiskinan. Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali pernah menimbulkan masalah jurang pendapatan golongan kaya dengan orang miskin yang semakin melebar di bawah kekuasaan BN. Pada masa Malaysia menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen dua tahun lalu, pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah sebaliknya mengarahkan harga petrol di negara itu dikurangkan sehingga lebih daripada 30 peratus; iaitu daripada 90 halala (90 sen) kepada 60 halala (60 sen) seliter. "Bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan untuk kebaikan awam, kami mengarah harga seliter minyak petrol untuk pengguna diubah kepada 60 halala berbanding 90 halala," kata Dikri Diraja. Itulah nikmat rakyat Arab Saudi berada dalam negara pengeluar minyak tetapi apa yang rakyat Malaysia perolehi dan nikmati hasil petroleum negara? Adilkah kerajaan kepada rakyat apabila tidak menjawab malah membisu berhubung pertanyaan ke mana pergi RM500 bilion duit keuntungan Petronas yang hilang? Perdana Menteri perlu memberi penjelasan kerana beliau bertanggungjawab kepada Petronas yang penyata kewangannya tidak perlu dibentangkan di Parlimen. Audit Petronas tidak pernah dibentangkan secara rasmi. Ini menyebabkan Petronas menduduki tangga tercorot daripada 15 syarikat minyak dan gas dunia dalam satu kajian 'World's Most Sustainable And Ethical Companies'. Kajian ini dijalankan oleh Management and Excellant, syarikat perunding gas dan minyak di Sepanyol. Dalam kajian itu, Petronas mendapat markah 20.15% berbanding Shell 89.01%.- tajdid |
nuffnang
Friday, June 6, 2008
Hampir 2/3 gaji sebahagian rakyat dibelanja untuk petrol
dipetik dr harakah online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment