nuffnang

Wednesday, June 18, 2008

`Win-win solution': Mahfuz legakan rakyat

credit to harakahdaily.net

by saidah hairan

Ramai penonton dan peminat setia rancangan Hujah yang biasa disiarkan jam 9.30 malam Selasa kecewa dan terkejut kerana siaran tersebut diganti dengan Bicara Media.

Penulis yang setia menanti rancangan tersebut turut terkejut lantas mengubah siaran ke RTM1 dan NTV7.

Semuanya mempaparkan rancangan yang sama, Bicara Media membincangkan isu minyak yang dipengerusikan Dato' Johan Jaafar.

Tanpa berlenggah penulis terus menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Ketua Penerangan PAS, YB Mahfuz Omar; "Mengapa Hujah tiada?" Mahfuz dengan ringkas membalas, 10.30 pm.

Fikiran penulis mula bersoal jawab mengapa dialih waktu siaran. Apakah kerajaan kena 'tibai' teruk oleh Mahfuz. Apakah Mahfuz berjaya menguraikan dengan lebih tepat bahawa kenaikan tidak sepatutnya berlaku kerana negara memperolehi pendapatan tinggi kesan daripada kenaikan harga minyak?

Sementara menanti siaran Hujah, penulis terpaksa menahan telinga menonton Bicara Media. Apa yang menyakitkan hati apabila wakil akhbar langsung tidak menghuraikan soalannya dengan baik. Bertambah sakit hati Bicara Media diulang tayang di TV3 jam 11.00 malam.

Mungkin kerajaan sudah tertekan dengan desakan dan bantahan daripada rakyat. Rakyat yang semakin cerdik sudah tidak percaya dengan jawapan daripada pihak kerajaan berhubung alasan menaikkan harga minyak.

Sembang santai selepas menonton rancangan tersebut bersama Mahfuz melalui talian telefon bimbit, beliau yakin sudah tentu ada agenda terancang supaya kali ini rakyat akan melepaskan marah kepada Petronas.

Sebab itu katanya, kerajaan terpaksa memperalatkan Tan Sri Hassan Merican untuk menyakinkan rakyat mengapa harga minyak petrol dan diesel perlu dinaikkan.

Penulis terfikir betul juga tanggapan Mahfuz sebab jika selepas ini rakyat hendak marah sudah tentu segala kemarahan itu akan dilemparkan kepada Petronas.

Mengulas hujah antara Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz dengan Ahli Parlimen Sri Gading, Mohamad Aziz, penulis yakin rakyat Malaysia yang menonton malam itu menarik nafas lega berpuas hati dengan persembahan bekas tahanan ISA itu.

Mahfuz yang memakai kemeja oren dengan gaya bersahaja lancar berbicara sehingga sukar untuk Mohamad Aziz memotong hujah beliau.

Penonton rancangan Hujah lega kerana beliau berjaya membawa isu keperitan dan kesusahan rakyat berikutan kenaikan harga minyak setinggi 78 sen.

Beliau dengan berani mencabar pak-pak menteri supaya menjadi peniaga dalam masa tiga bulan. Dengan sinis beliau yakin tentu pak-pak menteri yang bersuara lantang menghalang peniaga daripada menaikkan harga barangan akan gulung tikar.

Ternyata Mahfuz membuat 'homework' sebelum berhadapan dengan Mohamad Aziz dan paling penting soalan maut daripada Pengerusi Hujah, Profesor Madya Dr Mohamad Agus Yusuff.

Penulis memerhatikan Dr Agus turut terpegun dengan hujah yang penuh fakta daripada Mahfuz. Beliau berulang kali menahan Mohamad Aziz daripada menganggu Mahfuz.

Walaupun penulis terlalu cetek dalam ilmu politik tetapi apabila mendengar hujah ahli Parlimen Sri Gading, penulis tergelak kerana beliau mengeluarkan hujah mengampu kerajaan.

Beliau mengatakan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak secara drastk itu satu langkah yang betul. Katanya, jika kerajaan beri tempoh dua bulan untuk menaikkan harga minyak, sudah tentu orang kaya akan berlumba-lumba membeli minyak dan disimpan sehingga habis minyak di semua stesen minyak. Apakah beliau terlupa bahawa Hujah itu disiarkan di seluruh negara dan seluruh rakyat menonton rancangan tersebut.

Dari sudut penampilan memang kemas malangnya persembahan ketika berhujah langsung tidak menunjukkan beliau seorang Ahli Parlimen.

Sehelai kertas tidak ada di atas meja jauh berbanding dengan persediaan Mahfuz.

Tahniah untuk Mahfuz. Bekas tahanan ISA itu memang layak digelar pakar debat. Patut pun Ketua Pemuda Umno, Dato' Hishamuddin Hussein takut untuk menyahut cabaran beliau untuk berdebat ketika Mahfuz diamanahkan sebagai Ketua Pemuda PAS Malaysia.

PAS perlu menyediakan ramai lagi tokoh yang berani dan berkeyakinan untuk berdebat atau berhujah supaya pihak kerajaan lebih berhati-hati ketika berhadapan dengan wakil PAS. - mns_

No comments: