|  Mampukah rakyat Malaysia berbelanja RM900 sebulan untuk petrol?   Gaya hidup apakah lagi yang perlu diubah oleh rakyat setelah   dinasihatkan pemimpin kerajaan supaya berjimat cermat dengan   kenaikan harga minyak dua tahun lalu dan kenaikan harga beras,   tepung dan barang keperluan lain?   
  Rakyat sudah mengambil langkah berjimat dan kini sebahagian subsidi petroleum dikorbankan untuk kononnya membantu kerajaan membangunkan negara.   Soalnya, apakah pula pengorbanan pemimpin? Setelah rakyat disuruh merobah gaya hidup, para pemimpin terus hidup senang-lenang. Di mana slogan "Kepimpinan Melalui Teladan"?   Bersediakah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi   dan anggota kabinet memotong elaun mereka sebagai timbal balas   kerajaan menyuruh rakyat mengubah cara hidup. Terdapat cadangan   yang disuarakan rakyat dihantar dan disiarkan stesen televisyen   swasta minta 70 peratus elaun menteri dipotong. Apakah perasaan   Abdullah?   Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk   Shahril Samad mengumumkan harga petrol mungkin mengikut pasaran   global. Shahril melontar pandangan bahawa harga minyak tinggi   kerana ia diapung mengikut pasaran semasa. Taktik yang sama   juga digunakan bekas Menteri Keja Raya yang menjaga tol, Dato'   Seri S Samy Vellu.   Shahril juga membayangkan minyak akan naik pada Ogos ini.   Tiba-tiba esoknya Abdullah umumkan kenaikan harga petrol kepada   RM2.70. Mungkin itu juga mendorong rakyat menganggap kerajaan   menipu dalam program isu semasa RTM1.   Dalam rancangan Hujah yang disiar televisyen swasta baru-baru   ini, rakyat diingatkan agar tidak lagi bergantung kepada   tongkat (subsidi). Maksudnya, subsidi minyak kena dihapus.   Siapa mereka yang beriya-riya hendak menghapuskan subsidi bahan   bakar? Mereka ini golongan berpendapatan RM10 ribu ke atas   sebulan.    Berapakah harga minyak jika mengikut pasaran global? Contoh   terdekat negara yang mengikut harga pasaran tersebut iaitu   Singapura. Petrolnya berharga RM5.20 seliter dan diesel RM4.33.   Bersediakah rakyat Malaysia membayar petrol RM5.20 seliter dan   diesel RM4.33 mengikut harga apung di Singapura untuk   menghidupkan kenderaan mereka? Kebiasaannya seliter minyak   belum lagi mampu menghidup enjin kereta.    Jika selama ini rakyat Malaysia berbelanja RM10 sehari untuk   petrol bagi berulang alik ke tempat kerja, sebaliknya harga   pasaran global menyebabkan pengguna perlu menyediakan RM30. Sebulan RM900 bermakna ia telah menghapuskan sebahagian besar   perbelanjaan sara hidup mereka.    Timbul pertanyaan, kenapa rakyat Singapura masih boleh hidup   dengan harga minyak setinggi itu?   Jawapannya ialah pendapatan per kapita rakyat Singapura adalah    RM106,000 (AS$30,810) setahun berbanding rakyat Malaysia yang   hanya RM21,500 (AS$6,244). Ianya lima kali ganda berbanding   pendapatan per kapita rakyat Malaysia.   Purata rakyat Singapura berpendapatan lebih RM7,500 sebulan   berbanding rakyat Malaysia RM1,500. Bermakna rakyat Singapura   tidak bermasalah membelanjakan RM900 sebulan untuk petrol. Sebaliknya cuba bayangkan rakyat Malaysia berbelanja RM900   sebulan untuk petrol dan bakinya hanya RM600 yang tinggal untuk   perbelanjaan mengurus rumahtangga.    Bagaimana dengan bayaran ansuran kereta terpakai mereka dan   rumah serta perbelanjaan persekolahan anak-anak. Matangkah   kepimpinan kerajaan untuk membiarkan petrol dan diesel di bawah   kawalan pasaran semasa yang hanya meletakkan bebanan kepada   rakyat?    Bandingkan pula pendapatan per kapita rakyat Malaysia dengan   Korea Selatan dan Taiwan. Penduduk Korea Selatan sekarang   berjumlah 40 juta, sementara Taiwan 21 juta. Pada era 1970-an   rakyat kedua-dua negara ini lebih miskin berbanding rakyat   Malaysia.    Tetapi pada hari ini pendapatan per kapita rakyat Korea Selatan   adalah AS$19,200 (RM66,000), sementara Taiwan pula AS$15,700   (RM52,300). Iaitu dua atau tiga kali ganda berbanding rakyat   Malaysia.   Kenapa kerajaan BN langsung tidak ada pertimbangan terhadap   rakyat mereka? Rakyat ingin berteduh dan merasai nikmat   kesenangan di bawah naungan pemimpin sebaliknya ditindas dan   hidup dalam kesusahan.   Kerajaan tidak ada program berkesan untuk meningkatkan taraf   ekonomi rakyat. Pengangguran tidak dapat dibasmi. Tiba-tiba   rakyat dibebankan lagi dengan harga minyak yang cukup tinggi.   Seolah-olah rakyat Malaysia tinggal dalam negara bukan   pengeluar minyak.   Kata para ulama: "Tidak sama orang kaya yang bercakap mengenai   kemiskinan dihadapan orang miskin."    Pemimpin datang bercakap soal kemiskinan kemudian pulang dengan   kemewahan, sedangkan hadirin yang datang dengan kemiskinan   pulang dengan kemiskinan.   Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali pernah   menimbulkan masalah jurang pendapatan golongan kaya dengan   orang miskin yang semakin melebar di bawah kekuasaan BN.    Pada masa Malaysia menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen dua   tahun lalu, pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah sebaliknya   mengarahkan harga petrol di negara itu dikurangkan sehingga   lebih daripada 30 peratus; iaitu daripada 90 halala (90 sen)   kepada 60 halala (60 sen) seliter.   "Bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan untuk kebaikan awam,   kami mengarah harga seliter minyak petrol untuk pengguna diubah   kepada 60 halala berbanding 90 halala," kata Dikri Diraja.   Itulah nikmat rakyat Arab Saudi berada dalam negara pengeluar   minyak tetapi apa yang rakyat Malaysia perolehi dan nikmati   hasil petroleum negara?   Adilkah kerajaan kepada rakyat apabila tidak menjawab malah   membisu berhubung pertanyaan ke mana pergi RM500 bilion duit   keuntungan Petronas yang hilang?   Perdana Menteri perlu memberi penjelasan kerana beliau   bertanggungjawab kepada Petronas yang penyata kewangannya tidak   perlu dibentangkan di Parlimen.   Audit Petronas tidak pernah dibentangkan secara rasmi. Ini   menyebabkan Petronas menduduki tangga tercorot daripada 15   syarikat minyak dan gas dunia dalam satu kajian 'World's Most   Sustainable And Ethical Companies'.   Kajian ini dijalankan oleh Management and Excellant, syarikat   perunding gas dan minyak di Sepanyol. Dalam kajian itu,   Petronas mendapat markah 20.15% berbanding Shell 89.01%.- tajdid     |